Info Terkini: Beonpush akaun sudah boleh dibeli sekarang! Whatsapp 0102074091

Monday, 23 May 2016

Untung Dunia dan Untung Akhirat


>> *USAHAKAN AGAR KEHIDUPAN KITA UNTUNG DUNIA, UNTUNG AKHIRAT.*
MAJORITI di kalangan Muslim dan bukan Muslim, menjadikan kehidupan dunia sebagai matlamat hidup. Muslim yang hidupnya serba tidak kena dengan agamanya, mereka adalah Muslim yang tidak menjadikan Islam sebagai agamanya dalam segenap aspek kehidupan, hingga sanggup mencemari, merosakkan gambaran agama dan yang tidak beramal dengan Islam, sama ada dalam kehidupan secara solo, berkeluarga, bermasyarakat, berpolitik dan sebagainy.
Begitu juga dengan mereka yang bukan Islam, sudahlah pegangan agamanya meleset jauh daripada wahyu Ilahi, malah bertindak tidak mahu berlaku adil dalam bidang perniagaan yang diceburinya, malah sanggup menipu, memakan riba, memberi dan menerima rasuah, menyembah selain Allah, tidak menerima al-Quran dan ajaran Nabi Muahmmad s.a.w., mereka ini tetap berjaya di dunia, atau untung di dunia, tetapi menjadi golongan yang rugi di akhirat.
Fenomena di atas bukan sahaja berlaku dalam kalangan bukan Muslim, malah berlaku terhadap mereka yang mengaku Islam, tetapi pada masa yang sama hidup bagai orang yang tidak ada pedoman dan pegangan, tidak menyempurnakan rukun-rukun Islam seperti solat, puasa, zakat, haji dan sebagainya, mereka diibarat sebagai musuh dalam selimut, di luar nampak baik dengan Islam, tetapi di dalam amat benci kepada agamanya sendiri.

Namun bagi Muslim yang waras cara berfikirnya, sentiasa memikirkan apa yang terbaik untuknya bagi menghadapi Allah SWT pada hari akhirat, terutama yang terdiri daripada amalan-amalan yang boleh menyelamatkan seseorang individu Muslim itu daripada mendapat kemurkaan Allah, dia akan sentiasa memelihara hubungannya dengan Allah melalui amalan terbaik kerana semua itu akan dipertanggungjawabkan pada hari akhirat.
Muslim yang baik hubungannya dengan Allah SWT, akan sentiasa memelihara dirinya daripada bertindak dengan melakukan perkara yang akan menyusahkannya pada hari akhirat terutama amalan yang sia-sia, dia akan berusaha untuk mempersembahkan yang terbaik kepada Allah.
Sehubungan itu Allah SWT berfirman dalam surah Hud ayat 15-16 maksudnya: “Sesiapa yang menghendaki kehidupan dunia dan perhiasannya, nescaya Kami berikan kepada mereka balasan hasil usaha mereka di dunia dengan sempurna dan mereka tidak akan dirugikan sedikit pun di dunia.(15) Itulah orang-orang yang tidak memperoleh sesuatu (daripada pahala mereka) di akhirat, melainkan diberikan neraka dan lenyaplah segala apa yang telah mereka usahakan di dunia dan sia-sialah apa yang telah mereka kerjakan.”(16)
Perkara yang untung di dunia, tetapi rugi di akhirat

Sesungguhnya manusia pada hari ini kebanyakan mereka memilih perkara yang untung di dunia sahaja, seperti terlibat dalam sesuatu perniagaan tanpa memikirkan pantang larang agama, atau dengan kata lain tidak mempedulikan halal-haramnya sesuatu perniagaan menerusi produk yang diniagakan seperti bahan makanan mengandungi yang haram, terlibat dengan penjualan yang berunsurkan perjudian dan sebagainya. Boleh jadi produk tersebut mendapat sambutan yang menguntungkan, tetapi akibatnya begitu buruk di akhirat walaupun mereka terdiri daripada oran-orang bernama Islam.

*Perkara yang rugi di dunia, tetapi untung di akhirat.*

Sementara bagi golongan yang berpendapatan kecil atau sederhana, mungkin dilihat rugi di dunia, tidak memiliki rumah yang hebat, kereta mewah, telefon bimbit yang canggih, penampilan diri pun tidak kemas, tetapi mereka boleh dianggap untung di akhirat bila mana mereka menjaga hak-hak agama tanpa menggadai prinsipnya, tidak pernah terlibat dengan rasuah, menipu, menjatuhkan orang lain yang melibatkan maruah dan sebagainya. Mereka adalah golongan yang untung di akhirat kerana beramal dengan nilai-nilai agama.

*Perkara yang untung di dunia dan untung di akhirat*

Adapun golongan yang benarbenar untung di dunia dan akhirat adalah mereka yang beramal dengan ajaran Islam di dunia dalam segenap tindak-tanduk melibatkan akhlak kepada Allah, Rasul-Nya, al-Quran, Sunnah Nabi Muhammad s.a.w. Kalau menjadi seorang peniaga, sama sekali dia tidak akan meninggalkan solat fardu walaupun sibuk berniaga.
Kerana dia yakin bahawa dengan menyembah Allah, rezekinya akan bertambah, kerana Allah bersifat memberi rezeki kepada hamba-Nya, malah diberkati dalam hidup. Individu Muslim seperti ini, adalah yang untung di dunia kerana peniagaan maju dan untung di akhirat kerana tidak mengabaikan tanggungjawab terhadap agama.

*Perkara yang rugi di dunia dan rugi di akhirat.*

Sementara terdapat satu golongan lagi yang dijanjikan dengan neraka Allah SWT, kerana kehidupan mereka di dunia sedikit pun tidak dihubungkan dengan agama Islam yang benar, seperti tidak menunaikan solat, tidak percaya kepada al-Quran, Hadis Nabi Muhammad s.a.w, biadap terhadap kedua-dua ibu bapa, mempersenda sunnah baginda Rasulullah dan sebainya.
Mereka ini jelas di dunia rugi kerana tidak dibayangi dengan kasih sayang Allah, malah dipandang Allah dengan pandangan rahmat, malah di akhirat pula tidak mendapat syafat Nabi Muhammad s.a.w. dan disediakan baginya neraka.

*Golongan yang tidak rugi di dunia dan akhirat.*

Mereka itu adalah terdiri daripada golongan kanak-kanak yang tidak ada dosa sama sekali, baik dosa besar mahupun kecil, sama ada kanak-kanak daripada kedua ibu bapa yang Muslim atau yang bukan muslim. Termasuk juga golongan haiwan yang tidak rugi apa-apa di dunia dan di akhirat, maknanya mereka tidak dipertanggungjawabkan apaapa di hadapan Allah pada hari pembalasan.
Perkara-perkara baik yang perlu dilakukan Muslim untuk dilihat Allah pada hari akhirat:

1. Istiqamah (konsisten) dalam beragama.

2. Istikharah, iaitu selalu memohon petunjuk Allah dalam setiap langkah dan penuh pertimbangan dalam setiap keputusan yang dibuat.

3. Banyak beristighfar.

4. Menunaikan solat fardu pada awal waktu dalam berjemaah.

5. Membudayakan pembacaan al-Quran setiap hari.

6. Suka bersedekah.

7. Menghidupkan sunnah Nabi seperti solat-solat dan puasapuasa sunnah.

8. Selalu bangun sebelum azan subuh berkumandang.

9. Aktif menjaga kebersihan.

10. Tidak makan terlalu banyak.

11. Gemar berjalan kaki.

12. Tidak pemarah.

13. Optimis dengan Islam dan tidak mudah berputus asa.

14. Tidak iri hati.

15. Bersegera melakukan ibadat khusus.

16. Meninggalkan perbuatan yang membawa kepada dosa besar atau kecil.

17. Sentiasa muraqabah (mengingati) Allah SWT.

18. Berbakti kepada kedua ibu bapa.

19. Berbuat baik dan suka menolong orang yang lemah.

20. Tunaikan hajat orang lain.

21. Suka buat kebajikan.

22. Menjalin silaturahim.

23. Melazimi kekal berwuduk.

24. Melazimi solat malam dan Duha.

25. Sentiasa bersyukur kepada Allah.

26. Rajin berdoa.

27. Bertawakal.

28. Dan banyak lagi.

Mengapa amalan baik perlu dilakukan?

Ia tidak lain adalah untuk menambahkan koleksi pahala kepada golongan yang mahu menjadi orang-orang yang untung di dunia dan di akhirat. Justeru, perkara-perkara yang baik seperti di atas adalah antara perkara yang baik yang boleh dilakukan Muslim di semua peringkat tanpa mengenal kedudukan dan pangkat mereka.

*Perkara-perkara buruk yang perlu dijauhi Muslim agar selamat di akhirat.*

1. Menyekutukan Allah SWT.

2. Menyanggah ajaran Nabi Muhammad s.a.w., mempersenda sunnah-sunnah baginda, sama ada perbuatan, perkataan atau perakuannya.

3. Menderhakai kedua-dua ibu bapa.

4. Bertawassul kepada manusia.

5. Menuduh tanpa bukti, membuat dan menyebarkan fitnah, bertujuan untuk menjatuhkan seseorang bagi mencapai impian tertentu.

6. Terlibat dalam urusan penjualan arak dan perjudian, walaupun untuk tujuan promosi.

7. Meninggalkan solat-solat fardu dengan sengaja tanpa sebab yang dibenarkan Islam, termasuk puasa, zakat dan haji.

8. Memakan harta anak yatim dengan zalim.

9. Bergaul dan berkawan baik dengan orang-orang munafik, fasik dan yang menentang Allah SWT.

10. Menghina hukum-hukum, peraturan dan undang-undang Islam melalui tulisan, kenyataan ataupun tindakan.

11. Berzina, merogol dan melakukan sumbang mahram adalah antara perbuatan terkutuk yang dilaknat Allah SWT.

12. Dayus terhadap isteri dan anak perempuan hingga tidak menegur mereka untuk menutup aurat seperti yang diarahkan Allah dalam al-Quran.

13. Tidak suka beramal dengan perkara-perkara sunnah yang pernah dicontoh dan diajarkan oleh baginda Rasulullah s.a.w.

14. Menghina pakaian isteriisteri baginda Rasulullah yang menutup aurat dengan sempurna.

15. Mempersoal, menyangah dan mempertikaikan amalan poligami yang pernah diteladankan oleh Rasulullah sebagai tidak sesuai di zaman ini.

16. Penampilan diri, akhlak, cara hidup dan sebagainya menyerupai golongan Yahudi atau Nasrani.

17. Melebihkan hafalan skrip drama atau filem daripada menghafal ayat-ayat al-Quran atau hadis Nabi Muhammad s.a.w.

18. Membuang anak-anak baru lahir yang tidak berdosa hasil perzinaan tanpa sebab yang dibenarkan agama.

19- Memperbanyakkan industri hiburan yang memberi ruang kepada berlakunya maksiat, sedangkan Islam menutup pintu perzinaan dengan konsep mendekati zina pun tidak boleh, apatah lagi melakukannya.

20. Tidak membendung malah membela golongan anti-Islam seperti Sisters In Islam yang diberi ruang secukupnya untuk bergerak.

21. Muslimah atau wanita diberi ruang bebas dan mencukupi dalam paparan iklan bagi tujuan melariskan produk tertentu, sepatutnya ia dipantau.

22. Banyak janji dalam pilihan raya tidak tertunai hingga berlaku pilihan raya kecil baru dihebohkan semula, sedangkan Islam menganggap ia satu tindakan hipokrit.

23. Menggunakan khidmat pasukan keselamatan bagi menyekat rakyat dalam beberapa siri tunjuk perasaan secara aman kerana takut rahsia penyelewengan terbongkar, ia adalah satu perkara yang buruk melanda negara.

24. Cara hidup, tindakan, kenyataan, perbuatan dan lainlain tidak melambangkan seorang Muslim yang komited kepada agama, malah mencontohkan perkara negatif di hadapan bukan Islam hingga merosakkan gambaran Islam sebenar.

25. Tidak mempedulikan persoalan keberkatan dalam hidup hingga terjebak dalam perkara yang dibenci Allah dan Rasul-Nya, seperti mengelak daripada bersolat jemaah, atau melambat-lambatkan solat dan kefarduan yang lain.

26. Mengaibkan saudara seagama dalam blog atau facebook, ia dianggap sebagai satu tindakan tidak bermoral yang dilarang agama.

27. Berfikir secara kreatif dalam usaha mengembangkan maksiat seperti penganjuran Akademi Fantasia, Jangan Lupa Lirik, Mentor, Raja Lawak dan sebagainya hasil Muslim yang mencadangkannya.
*Alfaqir iLallah;*
-Ust Hj Mohd Shafiq AlMakki-(7.55 pagi)

No comments:

Post a Comment